Hakim lawat lokasi Zayn Rayyan dilapor hilang

Hakim lawat lokasi Zayn Rayyan dilapor hilang

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Dr Syahliza Warnoh dan pihak pendakwaan terbabit dalam perbicaraan kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak itu, tiba di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, kira-kira 10 pagi tadi.

Kehadiran hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan yang menaiki beberapa kenderaan, diiringi kereta peronda polis serta Unit Rondaan Bermotorsikal (URB).

Difahamkan, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, serta saksi pendakwaan berkaitan sudah tiba di lokasi itu, lebih awal.

Pengamal media berkumpul di blok S di apartmen berkenaan seawal 9 pagi tadi, tapi tidak dibenarkan masuk ke kawasan blok R dan hanya dibenarkan merakam gambar serta mengambil video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Pada 5 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis dibuat ibu Zayn.

Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan itu.

Pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan saksi pendakwaan kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.

Justeru itu, Dr Syahliza menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya, sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut membabitkan penyediaan logistik dan keselamatan.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top