harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan menyiasat salah seorang pegawainya berhubung penemuan 12 keping pasport antarabangsa pada dirinya, bulan lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kertas siasatan integriti sudah dibuka dan pegawai terbabit sudah ditukar ke Depoh Tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun sehingga kini gagal melaporkan diri.
“Pihak Jabatan mengesahkan bahawa menemukan 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu.
“Pihak pengurusan JIM KLIA mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depoh Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.
“Bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, laporan polis sudah dibuat pada 7 Januari dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
Katanya, proses siasatan integriti masih dilaksanakan secara dalaman oleh Bahagian Integriti JIM KLIA.
“JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
“JIM juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen melalui talian 03-880 1246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my,”katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan, seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja dan ia disyaki mempunyai unsur rasuah.
Laporan itu mendedahkan perbuatan pegawai berkenaan terbongkar ketika suspek sedang tidur di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2 di luar waktu rehatnya sehingga menimbulkan syak pegawai lain yang akhirnya membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd