TANAH MERAH: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 20 ekor lembu seludup dari Thailand yang dipercayai untuk dijadikan sebagai stok pada bulan Ramadan selepas menahan sebuah lori di Kampung Lalang Pepuyu di sini semalam.
Dalam Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 4.45 petang itu, PGA turut menahan pemandu lori berusia 31 tahun yang bertindak sebagai penghantar bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 20 ekor lembu tanpa sebarang dokumen yang sah.
“Selain untuk Ramadan, kita tidak menolak kemungkinan ia turut dijadikan sebagai stok untuk Hari Raya Aidiladha
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan termasuk lori berjumlah RM160,000,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Katanya, suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” ujarnya.-UTUSAN