Ramai penyanyi berpotensi rosakkan kod vokal mereka – Syafinaz

Ramai penyanyi berpotensi rosakkan kod vokal mereka – Syafinaz

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi juga guru vokal Datuk Syafinaz Selamat terkejut dengan keghairahan ramai penyanyi mahu menunjuk kemampuan vokal sehingga perlu menjerit dan berpotensi rosakkan kod vokal mereka.

Syafinaz, 53, berkata suara sajalah menjadi aset terpenting penyanyi untuk bertahan dalam jangka masa panjang dan terkejut ada yang paksa nyanyi nada tinggi hanya kerana penonton sukakannya.

“Sejujurnya, saya sangat takut melihat mereka menyanyi dalam nada tinggi sampai terjerit-jerit. Trend ini bukan di Malaysia saja, di luar pun begitu juga.

“Saya perhatikan, semakin ramai penonton bersorak dan memberi ‘standing ovation’, semakin seronok mereka menyanyi hingga memaksa diri untuk menjerit.

“Suara adalah aset buat penyanyi dan jika ia rosak atau hilang, memang tak boleh nak cari ganti,” katanya ditemui pada sidang media Konsert Classical Treasures semalam.

Juri Gegar Vaganza 11 (GV11) terbabit menyuarakan kerisauan itu selepas menonton sendiri situasi berkenaan di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 baru-baru ini.

Syafinaz turut menegaskan pemilihan nada atau ‘key’ yang tepat dan sempurna untuk vokal penyanyi adalah sangat penting. Tidak semestinya nyanyian bernyanyi tinggi saja yang hebat.

“Setiap penyanyi ada julat suara tersendiri. Ketinggian nada suara pula berbeza-beza. Mungkin tahap ketinggian suara penyanyi A tak sama dengan penyanyi B, tapi kedua-duanya masih boleh menyanyi dalam nada tinggi.

“Tak salah menyanyi dalam nada tinggi, tapi kena ada nilai seni. Tapi kebanyakannya tak nampak nilai seni. Kadang-kadang yang menjerit suara tak sampai pun,” katanya.

Dalam pada itu, Syafinaz akan tampil menyanyikan dua lagu opera ikonik di Konsert Classical Treasures yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), pada 5 April nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top