Fiza ubah imej kerana masalah rambut gugur

Fiza ubah imej kerana masalah rambut gugur

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengacara, Fiza Frizzy mengakui suaminya yang juga pemain bola sepak, Fazli Zulkifli, tidak bersetuju apabila dia meluahkan hasrat untuk memotong rambut pendek.

Fiza, 37, berkata, dia bagaimanapun sekadar cuba mencari imej baharu dan mencari gaya rambut yang sesuai.

“Suami sebenarnya tak setuju bila nak berimej rambut pendek, tambah-tambah selepas ada tiga orang anak. Kalau saya bersolek, nampak elok.

“Kalau tak, nampak macam penkid. Cuma, saya rasakan bahawa apa kata kita cuba gaya lain sikit,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fiza yang sinonim dengan gaya rambut kerinting, selepas melahirkan tiga cahaya mata, hormon tubuh badannya mula berubah dan rambutnya juga mula gugur.

“Sejujurnya, apabila dah ada tiga anak, hormon berubah-ubah. Selepas melahirkan cahaya mata ketiga, rambut saya banyak gugur. Jadi, saya putuskan untuk tukar imej lagi,” katanya.

Tambah Fiza, dia juga sedar, semakin ramai pendatang baharu dalam dunia pengacara mewujudkan persaingan sengit.

“Saya dah berambut panjang sejak 10 tahun lalu. Saya rasakan bahawa orang perlu lihat saya dalam imej baharu untuk nampak lebih muda. Semakin hari, semakin ramai pengacara baharu dan persaingan pun bertambah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top