The Cops ada ramuan kejutan

The Cops ada ramuan kejutan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC menjanjikan aksi lebih mantap ketika berdepan Selangor FC pada final kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini.

Keyakinan itu diluahkan pemain tengah berpengalaman skuad Sang Saka Biru, Muhd Aizrul Ashraf Nor Affendy, yang yakin rakan-rakannya akan berjuang habis-habisan bagi memastikan trofi kejuaraan kekal milik mereka.

Dia yang mesra dipanggil Acap dalam kalangan rakan sepasukan menegaskan, walaupun Selangor memiliki kelebihan dengan satu gol hasil kemenangan 3-2 pada final pertama tempohari, namun ia bukan penamat bagi PDRM untuk menjulang kejuaraan trofi itu sekali lagi.

“Walaupun kami ketinggalan satu gol, tapi ia bukan penamat bagi kami, masih ada 90 minit perlawanan yang akan jadi penentu pasukan mana bergelar juara.

“Untuk itu, kami akan turun pada aksi itu nanti dengan persembahan lebih baik dengan keazaman tinggi untuk menafikan kelebihan dimiliki Selangor dan seterusnya mendapatkan kemenangan.

“Saya yakin pasukan kami ada kualiti tersendiri dan dengan semangat serta motivasi tinggi daripada semua pemain, pasukan berupaya untuk bangkit mencipta kejutan ke atas Selangor, Sabtu nanti,” kata Aizrul Ashraf, hari ini.

Kedua-dua pasukan akan turun pada aksi timbal balik di Stadium MBPJ Sabtu ini dengan kelebihan dimiliki Selangor selepas Gergasi Merah menang pada aksi pertama, 3-2.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top