CEO MFL dipecat atau letak jawatan?

CEO MFL dipecat atau letak jawatan?

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jodoh Giorgio Pompili Rossi bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dikatakan hanya bertahan lima bulan apabila beliau kini dikhabarkan tidak lagi menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan pengurusan liga itu.

Walaupun tiada pengesahan lanjut daripada MFL namun sumber mengesahkan bahawa pejabat CEO MFL sudah kosong semalam.

Beliau berkata, setakat ini tiada pihak tampil untuk menjelaskan situasi berkenaan sama ada Rossi dipecat atau meletak jawatan itu.

“Rossi sudah tidak bersama MFL lagi. Saya tak boleh beritahu sama ada di pecat atau letak jawatan… Pejabatnya juga sudah kosong,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Rossi yang berasal dari Itali memegang jawatan selaku CEO MFL bermula awal September 2024 lalu bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Stuart Ramalingam.

Beliau sememangnya tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia apabila pernah menjadi wakil La Liga Global Network Malaysia sebelum ini.

Karier Rossi di Malaysia bermula selaku Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021 apabila beliau membawa peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol.

Sementara itu, usaha Arena Metro untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurusan MFL termasuk Presidennya Datuk Ab Ghani Hassan dan Ahli Lembaga gagal apabila panggilan serta kiriman Whatsapp tidak berbalas.

Malah, ada antara Ahli Lembaga MFL yang dihubungi tidak mengetahui bahawa Rossi sudah tidak lagi bersama badan pengurusan liga itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top