Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai acara muzik paling berprestij di Malaysia apabila ‘Hening Rindu’ nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai Juara. Lagu hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna itu memukau penonton dengan susunan muzik yang menyentuh hati serta persembahan bertenaga Marsha.
Menariknya, AJL39 berjaya mencatat rekod luar biasa dengan pegangan 60.1% syer tontonan, menjadikannya antara edisi paling popular dalam sejarah penganjuran! Kejayaan ini turut diperkuatkan dengan 2.1 bilion capaian di media sosial serta lebih 236 juta tontonan video, menegaskan pengaruh besar acara ini dalam dunia digital.
Bukan itu sahaja, AJL39 juga meraih lebih 150 ribu perbincangan di media sosial dengan 82% daripadanya bernada positif, membuktikan sambutan hangat daripada peminat. Penstriman di platform Tonton turut meningkat sebanyak 8%, mengukuhkan lagi status AJL sebagai acara muzik yang dinanti-nantikan setiap tahun. (Sumber: Nielsen, Tonton & Meltwater).
Selain kemenangan utama, ‘Bukan Lagi Kita’ nyanyian Nadeera Zaini diumumkan sebagai Naib Juara, manakala ‘Saksama’ oleh Akim & The Majistret menduduki tempat ketiga. Anugerah Vokal Terbaik menjadi milik Ernie Zakri menerusi ‘Aura’, sementara Aina Abdul membawa pulang anugerah Persembahan Terbaik dengan lagu ‘Puas Sudah’.
Dengan tema “NADA RASA”, AJL39 meraikan keunikan muzik sebagai medium yang mampu menyampaikan pelbagai emosi dan cerita. Sejak 39 tahun lalu, AJL terus menjadi platform berprestij yang merapatkan peminat dengan artis kegemaran mereka, selain menyaksikan perkembangan muzik tanah air.
Penganjuran AJL39 tahun ini dikuasakan oleh Samsung selaku penaja bersama dan Unifi Mobile sebagai rakan penaja. Turut menyokong acara ini ialah HotFM sebagai rakan radio rasmi, serta OhBulan!, XTRA, dan SEISMIK sebagai rakan digital rasmi.
Di sebalik tabir, Russell Mark Rodrigues bertindak sebagai Pengurus Projek, manakala Jamil Bin Hassan memainkan peranan penting sebagai Penerbit Eksekutif dalam memastikan kelancaran acara ini.
Artikel Berkaitan: AJL39: Nyanyian Berjiwa, Marsha Milan Rampas Gelaran Juara AJL.. Jom Semak Keputusan Penuh!