norhayati_nordin@hmetro.com.my
Di rantau Asia Tenggara ini, Thailand dan Indonesia boleh dianggap ‘jaguh’ dalam menghasilkan karya filem seram. Kebanyakan jalan ceritanya pasti diterima baik penonton di Malaysia.
Indonesia pernah memiliki ‘ratu filem seram’ legenda iaitu Suzzanna. Hingga kini walaupun sudah 17 tahun meninggal dunia, nama Suzzanna masih unggul.
Namun, patah tumbuh hilang berganti. Kemunculan bintang muda baharu, Gisellma Firmansyah, 19, semakin mekar sebagai pelakon filem seram meningkat naik di negara itu.
Walaupun mungkin namanya belum cukup besar di sini, tetapi siapa sangka bakat lakonan Gisellma kian menjadi perhatian ramai sejak dia membintangi filem Vina: Sebelum 7 Hari, tahun lalu.
Ketika ditanya gelaran ratu filem seram Indonesia yang bakal disandangnya nanti, Gisellma mahu dikenali sebagai pelakon serba-boleh untuk apa saja watak dan enggan terikat watak tertentu.
“Memang rezeki saya setakat ini banyak mendapat peranan untuk filem seram. Tapi, kalau mahu digelar ratu filem seram itu, saya ada perasaan bimbang.
“Ini kerana, saya mahu menjadi pelakon serba-boleh dengan kemampuan membawakan genre lain seperti aksi dan romantik. Saya tidak mahu dilihat sebagai pelakon stereotaip.
“Saya sekarang pun berusia 19 tahun, jadi perjalanan saya sebagai pelakon ini masih jauh dan panjang. Jadi, ke depannya saya tidak tahu akan dapat watak apa pula.
“Tapi, saya bersikap terbuka untuk menerima apa saja watak kerana mahu mencuba. Cuma, bagiku gelaran ratu filem seram itu tidak pernah sama sekali difikirkan. Saya sekadar melakonkan saja wataknya,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem seram terbaharu lakonannya, Anak Kunti arahan Bambang Drias yang mula ditayangkan di Malaysia pada 20 Februari ini.
Dalam pada itu, Gisellma juga mengaku pernah diganggu makhluk halus di lokasi penggambaran, namun dia tidak ambil peduli kerana tuntutan kerja.
“Saya percaya dengan kehadiran makhluk halus di dunia ini. Cuma, ada segelintir di antara kita mungkin hijab matanya dibuka dan boleh melihatnya dan antara yang memilikinya.
“Bagaimanapun, saya memilih untuk tenang sebab saya berada di situ untuk bekerja. Saya tidak datang untuk mengganggu dan biarkan saja sekiranya ada yang datang mengusik.
“Perasaan takut itu memang tetap ada. Cuma, macam saya katakan ia kerana kerja. Apatah lagi, di setiap kawasan pedalaman di Indonesia itu kebanyakannya ada sejarah mistik tersendiri,” katanya.
Menurut gadis asal Tangerang ini, dia juga sangat berhati-hati sepanjang berada di lokasi yang ‘keras’ dengan mengambil kira semua saranan daripada ustaz yang turut berada ketika penggambaran.
Selain Gisellma, barisan pelakon Anak Kunti ialah Nita Gunawan, Abun Sungkar, Jajang C Noer, Iwa K, Wavi Zihan, Ruth Marini dan ramai lagi.
Seronok belajar bahasa Jawa
Walaupun lahir dan membesar di Indonesia, Gisellma menyifatkan seb
agai negara besar dengan jumlah penduduk kira-kira 280 juta, sudah tentu setiap daerah ada dialek masing-masing.
Katanya, untuk itu setiap naskhah filem seram dibintangi ada kelainan tersendiri. Malah, bagi Anak Kunti dengan watak sebagai Sarah, dia seronok belajar bahasa Jawa daerah dan ia sangat mencabar.
“Terus-terang, saya perlu belajar bahasa Jawa dari Jawa Timur ke Jawa Tengah dalam masa seminggu saja. Memang susah sebab dialeknya berbeza dan masa diberikan pihak produksi juga amat terhad.
“Sebagai pelakon yang sudah memberi kata persetujuan, saya tiada pilihan untuk tidak melakukan cabaran itu (belajar bahasa Jawa). Mahu atau tidak, saya tetap harus kena buat juga.
“Apapun, selepas melihat hasilnya dalam Anak Kunti ini, saya ‘happy’ dan berasa puas. Usaha dilakukan walaupun susah tidak sia-sia kerana lontaran setiap dialog itu dapat dilakukan dengan baik,” kata Gisellma yang membintangi beberapa filem antaranya Foxtrot Six, Ratu Ilmu Hitam, Sewu Dino, Jin & Jun, Anwar: The Untold Story, Hari Linda, Paku Tanah Jawa dan Lily Merah.
© New Straits Times Press (M) Bhd