Bank Rakyat teruskan tradisi hargai pelanggan sempena Ramadan, Syawal

Bank Rakyat teruskan tradisi hargai pelanggan sempena Ramadan, Syawal

BANK Rakyat meneruskan tradisi menghargai pelanggan dengan menawarkan pelbagai ganjaran menarik, di samping menyediakan platform kepada usahawan dengan peruntukan lebih RM900,000 melalui Kempen Hulurkan Salam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kempen itu diangkat sebagai tema bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini, sebagai simbolik penghargaan bank berkenaan kepada pelanggan setianya.

Menurutnya, pada tahun lalu, hampir 500 pemenang menerima manfaat dengan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM750,000 ditawarkan menerusi kempen pada Ramadan dan Syawal.

“Tradisi menghulurkan salam adalah lebih daripada sekadar ucapan, ia adalah tanda kasih sayang, keikhlasan serta kemaafan yang mengeratkan hubungan antara setiap insan. Sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, hubungan erat yang kekal terjalin antara bank dengan pelanggan dan komuniti adalah asas keutuhan kami.

“Justeru, kami berharap menerusi pelbagai inisiatif yang telah direncanakan menerusi kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan dengan setiap pelanggan serta memberi mereka lebih banyak kegembiraan dan keceriaan sempena bulan yang penuh bermakna ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kempen utama di bawah Hulurkan Salam bakal berlangsung bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2025, menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah istimewa termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.

Ahmad Shahril

Ahmad Shahril

Sempena Syawal juga, Cabutan Khas Akaun Pelaburan-i Rizq Plus juga akan diadakan, yang menawarkan hadiah utama sebanyak RM100,000 serta emas 20 gram kepada lima pelanggan bertuah.

“Menerusi Kempen Hulurkan Salam, Bank Rakyat turut menawarkan pelbagai rebat dan ganjaran istimewa seperti Kempen Rebat Petrol yang berlangsung dari 27 Mac sehingga 10 April 2025. Pelanggan boleh menikmati diskaun lima peratus bagi pembelian petrol, diesel serta barangan runcit di stesen minyak seluruh negara.

“Selain itu, Kempen Rebat Barangan Runcit menawarkan diskaun tiga peratus bagi pembelian barangan keperluan harian dari 27 Mac sehingga 3 April 2025 dan Kempen Rebat Emas menawarkan diskaun satu peratus bagi pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bermula 1 Mac sehingga 30 April 2025.

“Melalui Kempen iRakyat Duit Raya pula, pelanggan yang melakukan jumlah transaksi duit raya tertinggi dari 17 Mac hingga 13 April 2025 berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000,” ujar beliau.

Jelasnya, bagi menyokong usahawan, Bank Rakyat bakal menghimpunkan sebanyak 100 gerai usahawan sempena Ramadan ini menerusi Karnival Bazar Riang Raya bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat pada 17, 19, 20 dan 21 Mac 2025.

Program Jajahan Rakyat Ramadan turut akan dianjurkan di tujuh lokasi baharu di seluruh negara, termasuk Masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Bayan Baru, Pulau Pinang; Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar, Perak; Bazar Kampung Bahtera, Batu Caves, Selangor; Bazar Ramadan Jasin Bestari, Peringgit Melaka; Kuala Dungun, Terengganu dan Desa Ilmu Kota Samarahan, Sarawak.

Jajahan Rakyat Ramadan adalah kesinambungan daripada program Jajahan Rakyat yang diperkenalkan di Bazar Karat, Johor Bahru.

Scroll to Top