am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan disaran membuat semakan semula ke atas bilangan hari yang diperuntukkan bagi cuti umum sempena Aidiladha, bertujuan memudahkan umat Islam meraikan perayaan berkenaan.
Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berkata, tempoh cuti umum sedia ada sempena Aidiladha tidak mencukupi, menyebabkan ramai tidak berpeluang meraikan perayaan berkenaan.
Beliau berkata, tempoh cuti umum sempena perayaan itu wajar dinaikkan kepada dua hari, yang antara lain akan memudahkan urusan logistik dalam kalangan rakyat, terutama untuk pulang ke kampung masing-masing.
“Seksyen 3 Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) memperuntukkan sehari cuti bagi Hari Raya Haji (Aidiladha) bagi seluruh negara, manakala dua hari bagi Kelantan dan Terengganu.
“Rasionalnya, tempoh cuti sehari ini menyebabkan ramai tidak dapat meraikannya di kampung kerana faktor logistik, sedangkan melaksanakan ibadah korban serta meraikan Aidiladha dan Hari Tasyrik adalah ajaran Islam.
“Jempol (Shamshulkahar) memohon kerajaan menetapkan cuti Aidiladha selama dua hari di seluruh negara. Mohon maklum balas Jabatan Perdana Menteri mengenai cadangan ini,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Shamshulkahar membantah cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam, selain menyifatkan syor itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Jempol mohon semua pihak menghormati Perkara 3 Perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 11 menjamin kebebasan setiap orang menganuti dan mengamalkan agama masing-masing di negara ini,” katanya.
Mengenai rasionalisasi subsidi RON95, Shamshulkahar menggesa Kementerian Ekonomi memperinci kaedah dan memformulakan mekanisme terbaik dalam rangka pelaksanaan inisiatif itu, sekali gus menyelamatkan puluhan bilion ringgit setiap tahun.
“Subsidi petrol RON95 menjadi antara perbelanjaan terbesar dan beban kepada kerajaan dengan jumlah subsidi pukal dinikmati seluruh penduduk mencecah RM20 bilion pada 2023.
“Jempol berpendirian, sudah sampai masanya subsidi RON95 hanya dinikmati rakyat tempatan yang berjumlah 30.6 juta (90 peratus). Kelebihan subsidi ini tidak seharusnya diberikan kepada 3.4 juta (10 peratus) warga asing,” katanya.
Mengulas lanjut, Shamshulkahar berkata, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) wajar diperluas kepada kenderaan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara. Beliau berkata, ia bertujuan mengurangkan kos operasi, seterusnya membolehkan IPTS menyalurkan penjimatan kepada pelajar, selain menjelaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup wajar memberi pertimbangan khas bagi tujuan itu.
“Sehingga kini, pengangkutan bas dan lain-lain kenderaan yang menggunakan diesel di IPTS tidak termasuk dalam SKDS 1.0 mahupun SKDS 2.0.
“Jempol mohon pertimbangan khas KPDN agar SKDS dapat diperluaskan kepada kenderaan IPTS di seluruh negara bagi mengurangkan kos operasi seterusnya membolehkan IPTS menyalurkan penjimatan kepada pelajar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd