Op Hazard: E-waste diseludup dari luar negara, terutama China

Op Hazard: E-waste diseludup dari luar negara, terutama China

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lebih RM410 juta nilai rampasan dan sitaan, termasuk sisa elektronik (e-waste), yang dilakukan menerusi Op Hazard di tiga negeri di Pantai Timur dipercayai dibawa masuk dari luar negara, dengan kebanyakannya dari China.

Bekalan terbabit dipercayai diisytiharkan sebagai barang elektrik terpakai, yang membolehkan barangan berkenaan dibenarkan dibawa masuk.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan membabitkan e-waste adalah kali pertama dilakukan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Menerusi rampasan Sabtu lalu, membabitkan lima kes di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan, dan Pahang, kita merekodkan nilai rampasan dan sitaan keseluruhan sebanyak lebih RM410 juta.

“Rampasan dan sitaan itu meliputi pelbagai barangan e-waste seberat 1,383,120 kilogram (kg) bernilai lebih RM402 juta, sebanyak 51 unit mesin pelbagai jenis bernilai RM4.9 juta, kilang dan kontena sebanyak RM2 juta, serta 11 kenderaan bernilai RM806,000.

“Menerusi rampasan berkenaan juga, kita menahan enam individu, termasuk dua warga asing dari China dan Bangladesh, seorang penduduk Orang Asli, serta tiga penduduk tempatan.

“Rampasan e-waste adalah rampasan pertama dilakukan PGA, memandangkan sebelum ini ia dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Dengan kerjasama PGA dan JAS, kita melancarkan Op Hazard serentak di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bekalan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari China dengan diisytiharkan sebagai barang elektrik terpakai.

“Nilaian harga yang dijual kepada kilang adalah berdasarkan jenis logam yang dapat dihasilkan daripada e-waste berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pihak berkuasa digesa supaya menyiasat kegiatan menyeludup e-waste ke negara ini, termasuk mendakwa dalangnya di mahkamah, susulan serbuan besar-besaran terhadap kilang haram memproses sisa elektronik itu di Selangor, Perak, Pahang, Johor, dan Kelantan, membabitkan sitaan lebih RM1.7 bilion.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia Norelan Ismail dilaporkan berkata mencari dalang yang bertanggungjawab ke atas jenayah itu adalah sesuatu yang wajib dan wajar untuk dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top