PARLIMEN: Sistem perisikan pertama di Malaysia dibangunkan, pantau penjualan data

PARLIMEN: Sistem perisikan pertama di Malaysia dibangunkan, pantau penjualan data

KUALA LUMPUR: Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan akan dibangunkan bagi menangani masalah ketirisan data peribadi rakyat di laman sesawang gelap.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, projek tersebut akan menjadi sistem perisikan pertama di Malaysia dalam memantau aktiviti penjualan data peribadi.

Kata beliau, projek tersebut dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Projek ini akan dilancarkan pada Jun ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang mahu penjelasan Kementerian Digital bagi menangani masalah penjualan data peribadi.

Mengulas lanjut, Gobind Singh berkata, pihaknya juga meningkatkan aktiviti serbuan berdasarkan aduan pelanggaran data dan insiden berlaku di syarikat serta organisasi yang memproses data peribadi dengan transaksi komersial.

“Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) akan membuka pejabat di zon bermula dengan pembukaan di Sabah dan Sarawak serta diikuti dengan zon yang ditentukan.

“Ini bagi memudah cara penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serbuan di negeri-negeri yang berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top