Pembabitan bumiputera industri kayu masih rendah – Johari

Pembabitan bumiputera industri kayu masih rendah – Johari

PUTRAJAYA: Jumlah penyertaan bumiputera dalam industri perkayuan di negara ini masih berada di tahap rendah.

Ia dibuktikan apabila usahawan bumiputera hanya menyumbang satu peratus daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara setiap tahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kebanyakan syarikat usahawan bumiputera juga masih berada dalam kategori perusahaan kecil atau mikro.

Beliau berkata, tahun lalu, negara berjaya mengeksport produk kayu-kayan mencecah lebih RM22 bilion.

“Namun, usahawan bumiputera menyumbang kurang daripada satu peratus iaitu RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara.

“Jika mahu maju dalam industri ini, usahawan bumiputera perlu memiliki ekosistem yang boleh menguatkan perniagaan mereka ini,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Pemeriksaan Bumiputera Dalam Industri Perkayuan, di sini hari ini.

Katanya, syarikat bumiputera juga disaran bekerjasama syarikat-syarikat besar kerana mereka mempunyai sumber bekalan kayu mencukupi.

Johari berkata, usahawan bumiputera juga tidak boleh bergerak secara ‘in-silo’ (berasingan) kerana dunia perniagaan ini bersifat universal.

“Sebenarnya ada juga syarikat-syarikat besar yang sedia bekerjasama dengan syarikat Bumiputera ini kerana mereka mempunyai rekaan yang bagus,” katanya.

Katanya, KPK melalui agensi perkayuan iaitu Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing dan penglibatan bumiputera dalam industri perkayuan negara menerusi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) (2021-2030) dan Pelan Strategik Industri Perkayuan Negara (NTISP) (2021-2025).

“DAKN telah menggariskan beberapa strategi utama untuk memperkasa penyertaan bumiputera termasuk memupuk kerjasama antara syarikat-syarikat perkayuan dan memastikan usahawan bumiputera mendapat pensijilan kemampanan.

“DAKN menyasarkan peningkatan 71 peratus penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan iaitu sebanyak 600 syarikat Bumiputera pada tahun 2030 di peringkat pertengahan dan hiliran,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top