Toronto: Sebuah pesawat Delta Air Lines tergelincir dan terbalik ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto, pada Isnin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera termasuk seorang kanak-kanak.
Menurut laporan United Press International (UPI) yang memetik Perkhidmatan Paramedik Wilayah Peel, tiga mangsa – seorang lelaki berusia 60-an, seorang wanita dalam lingkungan 40-an dan seorang kanak-kanak – berada dalam keadaan kritikal.
Seramai 12 lagi mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital berhampiran.
Dalam satu kenyataan di platform X, pihak lapangan terbang mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal telah dikenal pasti.
Insiden berlaku sekitar 3.30 petang waktu tempatan (EST) dalam keadaan bersalji, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) memaklumkan bahawa kesemua 80 orang di dalam pesawat berjaya dipindahkan dengan selamat, lapor CBS News.
Siasatan berhubung kejadian akan diketuai oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada, dengan kerjasamaLembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS (NTSB) dan FAA.
© New Straits Times Press (M) Bhd