London: James Maddison mendakwa dia berjaya “mendiamkan suara luar” selepas bintang Tottenham itu menjaringkan gol kemenangan menentang Manchester United, hanya beberapa hari selepas Roy Keane memberi kritikan tajam terhadap pemain tengah itu.
Keane melancarkan serangan pedas terhadap Maddison apabila sering dikritik kerana berdepan musim sukar, dipenuhi dengan kecederaan, prestasi buruk dan persoalan tentang etika kerjanya.
Bekas kapten Manchester United itu berkata, Maddison tidak akan menjadi pemain yang boleh mencetuskan perbezaan ketika dia kembali daripada kecederaan dengan merujuk kepada penampilannya di Kejohanan Dart Dunia pada bulan Disember ketika dia berusaha kembali cergas.
“Orang kata Maddison adalah pemain yang hebat. Bila dia akan tampil ke hadapan? Dia dah diturunkan pangkat dengan Leicester dan dia akan turut diturunkan pangkat dengan Spurs,” kata Keane dalam podcast The Overlap.
“Maddison tak teruk bila dia tak main dart, tapi biar saya beritahu, kalau anda fikir dia akan kembali dan bawa Spurs ke enam teratas, anda dalam dunia khayalan.”
“Dia bagus, dia pemain berbakat. Tapi jika anda seorang pemain di bilik persalinan Spurs dan Maddison kembali ke skuad, anda takkan melihat dan berkata ‘oh, Tuhan, dia kembali hari ini. Kita akan selamat’.”
“England ada skuad 300 pemain dan dia pun tak dapat masuk. Anda semua menipu diri sendiri.”
Maddison jelas tersinggung dengan kritikan Keane dan meraikan golnya pada minit ke-13 dalam kemenangan 1-0 pada Ahad ke atas United dengan gaya meniru aksi melempar dart dan kemudian meletakkan jari di bibirnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd