London: Bos Tottenham, Ange Postecoglou berkata dia boleh bersimpati dengan masalah kecederaan pengurus Manchester United, Ruben Amorim selepas menewaskan Red Devils 1-0 awal pagi tadi.
Dalam pertembungan antara dua pasukan yang jauh daripada prestasi sebenar musim ini, gol James Maddison sudah cukup membawa Spurs mengatasi United di kedudukan ke-12 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pasukan Amorim tergelincir ke tangga 15 dan tiada sebab untuk pengurus Portugal terus positif selepas Amad Diallo dan Lisandro Martinez disahkan tidak dapat bermain sehingga akhir musim.
United juga tidak dapat menurunkan Manuel Ugarte, Christian Eriksen, Kobbie Mainoo dan Luke Shaw ketika berkunjung ke utara London, menyebabkan Amorim terpaksa menurunkan lapan dari sembilan pemain remaja di bangku simpanannya.
Manakala musim kedua Postecoglou di Tottenham turut dihantui masalah kecederaan.
Micky van de Ven, Cristian Romero, dan Dominic Solanke sekali lagi tidak dapat bermain, namun kepulangan Maddison dan penjaga gol Guglielmo Vicario membantu meraih kemenangan pertama di laman sendiri sejak November.
“Saya dapat lihat hari ini Ruben terpaksa menyusun pasukan, pemain tidak bermain di posisi biasa serta terpaksa menurunkan pemain remaja di bangku simpanan.
“Selamat datang ke dunia saya dan itu untuk satu perlawanan. Sekarang cuba lakukan itu selama dua bulan, untuk mana-mana kelab,” kata Postecoglou.
Kecederaan besar menjadi tajuk utama musim ini dalam saingan EPL.
Juara bertahan Manchester City turut merosot dengan cepat tanpa pemenang Ballon d’Or, Rodri, manakala Arsenal terpaksa mencabar gelaran tanpa sebarang penyerang yang diiktiraf.
© New Straits Times Press (M) Bhd