Usah ulangi skrip sama – Badrul Afzan

Usah ulangi skrip sama – Badrul Afzan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menuntut anak buahnya agar tidak mengulangi skrip sama berdepan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Jumaat ini.

Beliau berkata, anak buahnya perlu memanfaatkan peluang itu dengan melakar kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Pada aksi minggu lalu berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Gong Badak, skuad Penyu itu terkulai selepas tumpas 1-2 biarpun mendahului perlawanan.

“Saya ingatkan pemain agar dapat memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata penuh selepas gagal melakukannya pada Jumaat lalu.

“Harap mereka tidak lagi melakukan kesilapan mudah sebaliknya perlu tingkatkan lagi prestasi termasuk berkaitan dengan komunikasi ketika bermain.

“Sebarang keciciran mata bakal menjarakkan lagi dengan pasukan Sabah FC sekali gus boleh meleburkan hasrat kami untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga, harap mereka tidak lagi melakukan kesilapan mudah,” ujar jurulatih muda itu.

Dalam pada itu bekas pemain tengah skuad Terengganu itu menuntut barisan penyerangnya agar lebih bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya harap dua penyerang import, Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla lebih tajam lagi di depan gawang pelawat lebih-lebih lagi kini pasukan wajib menang dalam baki enam perlawanan lagi,” ujarnya.

TFC yang sudah mengharungi 18 perlawanan kini menghuni di tangga keempat dengan mengutip 27 mata, lima mata memisahkan dengan Sabah FC yang mengumpul 32 mata.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top