KPDN pantau bazar Ramadan elak pencatutan

KPDN pantau bazar Ramadan elak pencatutan

am@hmetro.com.my

Putatan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau bazar Ramadan di seluruh negara bagi memastikan tiada elemen pencatutan dilakukan peniaga.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, sudah menjadi rutin anggota penguat kuasa di bawah kementeriannya membuat pemeriksaan di pasar raya, pasar basah dan pasar mini.

“Bagaimanapun, setiap kali menjelang Ramadan, bazar-bazar di seluruh negara juga menjadi antara lokasi pemantauan penguat kuasa.

“Kita mahu tiada peniaga yang mengambil kesempatan menjual juadah berbuka puasa pada harga terlalu mahal,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barang keperluan sekolah di Pasar Raya Survey Putatan, di sini hari ini.

Mengenai pembungkusan semua minyak masak khususnya di Kota Kinabalu, Fuziah berkata, semuanya lancar dan kementerian akan memastikan bekalan minyak masak bersubsidi mencukupi termasuk sepanjang Ramadan.

“Kita kena tengok pengedar setiap zon. Adakalanya pengeluaran mereka tidak banyak setiap bulan kerana kuota ditetap telah habis.

“Namun secara keseluruhannya, bekalan minyak masak bersubsidi stabil di Sabah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top