AJL39: Hafiz Suip Persiapkan Diri, Hadir Dengan Kejutan Figura Legenda!

AJL39: Hafiz Suip Persiapkan Diri, Hadir Dengan Kejutan Figura Legenda!

Penyanyi Hafiz Suip mengakui berasa sedikit tertekan apabila peminat meletakkan harapan tinggi untuknya meraih trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Ketika ditemui XTRA, Hafiz yang mempertaruhkan lagu Terus Bersinar bagaimanapun enggan terlalu berharap kerana bimbang akan kecewa. Namun, dia melihat harapan peminat sebagai satu doa dan sokongan yang amat dihargainya.

“Sejujurnya, memang ada sedikit tekanan apabila peminat mengharapkan saya menang. Tetapi bagi saya, itu adalah satu doa daripada mereka. Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana jika tidak berjaya, pasti ada rasa kecewa,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz yang pernah merangkul trofi Vokal Terbaik sebanyak empat kali berkata persiapannya menjelang AJL39 berada dalam keadaan terbaik.

“Dari segi vokal, mental, dan fizikal, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya juga mengikuti kelas vokal bersama cikgu Shafi untuk memastikan persembahan saya berada pada tahap terbaik,” tambahnya.

Menariknya, Hafiz turut mendedahkan bahawa untuk persembahan Terus Bersinar di AJL39, dia bakal membawa seorang figura hebat yang amat dikaguminya dalam industri muzik.

Menurut anak kelahiran Sarawak ini, kehadiran figura istimewa itu juga sebagai satu peringatan kepada semua tentang kepentingan menghargai golongan seni terdahulu yang banyak berjasa kepada industri muzik tanah air.

“Saya memilih untuk menampilkan individu ini kerana daripadanya saya banyak belajar dan mendalami ilmu seni. Dia adalah seorang legenda yang sangat saya hormati. Saya yakin, bakat seperti beliau sukar dicari ganti.

“Saya menjemput insan yang saya kagumi ini kerana ingin mengingatkan semua tentang betapa pentingnya menghargai seniman lama. Sebagai ‘anak’ kepada beliau, saya memang sangat merinduinya. Sudah lama kami tidak bertemu, dan ini adalah momen yang cukup bermakna buat saya,” katanya.

Scroll to Top