am@hmetro.com.my
Padang Serai: Jabatan Penjara sudah menetapkan tarikh bagi membolehkan pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyoal siasat seorang banduan berhubung kes kematian tahanan dipercayai akibat dipukul Penjara Taiping bulan lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Pengarah Jabatan Penjara sendiri sudah menghubungi dua pegawai terbabit untuk mengatur pertemuan berkenaan dalam masa terdekat.
“Dua anggota Suhakam sudah dihubungi Ketua Pengarah Jabatan Penjara, dalam masa terdekat akan ada pertemuan…seperti yang dilapor apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) (dan) penjara tutup pintu (pertemuan) jawapannya tidak.
“Jawatankuasa Pilihan Parlimen, Jawatankuasa Hak Asasi dan Keselamatan pun panggil KDN, kalau KDN nak sembunyi kami tak payah pergi tapi kami pergi,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Program Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bersama Masyarakat dan Peluncuran Kalender Hari Antidadah 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kulim di sini, hari ini.
Saifuddin berkata Jabatan Penjara memberi kerjasama penuh untuk melakukan siasatan terhadap kes itu namun ia perlu dilakukan satu per satu.
“Polis sudah masuk siasat, Jabatan Penjara bagi kerjasama penuh, kemudian Suhakam tulis minta jumpa jadi kita kata kita selesai satu per satu.
“Kita tentukan tarikh dan maklumkan, saya sendiri sudah dihubungi Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan maklumkan saya akan permudahkan pertemuan itu.
“Akhirnya apa kita nak capai kalau tujuan kita nak cari kebenaran, kita cari kebenaran, kalau tujuan dia untuk membetulkan kelemahan, kita bergerak ke arah itu,” katanya.
Saifuddin bagaimanapun mempersoal tindakan Suhakam membuat kenyataan mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan.
“Suhakam boleh tunggu tarikh itu tapi dia memilih untuk buat kenyataan, saya harap akhir pertemuan itu Suhakam boleh keluar kenyataan pun diberi kerjasama (Jabatan Penjara), itu lebih cantik dan baru jernih sikit,” katanya.
Semalam media melaporkan Suhakam mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah.
Pada masa sama, Suhakam menyuarakan kebimbangan mendalam dan kecaman keras terhadap halangan yang didakwa dihadapi pegawainya ketika menjalankan siasatan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang membabitkan banduan di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd