MARANG: Keikhlasan taubat seseorang tidak harus dipertikaikan dan keinsafan mereka secara zahir mereka harus diterima dengan baik walaupun pernah melakukan dosa besar termasuk murtad.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan demikian dengan merujuk kisah Tulaihah Khuwailid al-Asadi yang juga pernah mengaku sebagai rasul selepas kewafatan Rasulullah SAW.
“Mereka yang melakukan kesalahan murtad seperti Tulaihah yang pernah mengaku menjadi Rasul selepas wafatnya Rasulullah SAW, kemudian telah bertaubat.
“Maka Khalifah Umar RA membatalkan larangan Abu Bakar RA sebelumnya yang melarang penyertaan mereka yang pernah murtad itu untuk menyertai jihad,” katanya dalam kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini semalam.
Tuan Guru menjelaskan bahawa pada zaman Nabi, terdapat golongan yang murtad selepas kewafatan Baginda, namun setelah diajak kembali, mereka akhirnya bertaubat.
“Pada awalnya, Abu Bakar RA tak benar orang ini berperang. Masa berperang dengan Parsi ni, Saad (Abi Waqqas) mengarahkan supaya dibenarkan mereka berperang. Itu Tulaihah. Tulaihah ni seorang mengaku jadi nabi. Dia bertaubat,” katanya lagi.
Menurut Tuan Guru, Tulaihah menunjukkan keberanian dalam pertempuran bagi membuktikan keikhlasan taubatnya kepada Allah SWT bagi menegakkan agama-Nya melalui pengorbanan di medan perang.
“Tindakannya memberikan semangat yang tinggi kepada kabilahnya, Bani Asad, sehingga mengorbankan 500 orang syuhada.
“(Seramai) 500 orang Bani Asad syahid pertempuran hari yang kedua. Buktikan keikhlasan dia. Tak undur di medan perang. Bertaubat sungguhlah,” ceritanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2025