Pelakon terkenal, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38, dengan hanya sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah pusat peranginan sekitar jam 9 pagi, hari ini.
Dalam majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup itu, Saleha atau nama penuhnya Siti Saleha Mohd Baharum, dinikahkan oleh bapanya, Mohd Baharum Abd Rahman.
Pada majlis tersebut, pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang dibalas tujuh oleh pihak perempuan. Jumlah mas kahwin dan wang hantaran pula dirahsiakan.
Siti Saleha meluahkan rasa syukur kerana majlis pernikahannya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala-galanya seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, saya sudah bersedia untuk bergelar isteri. Saya memilih Joshua kerana kami banyak persamaan dan sama-sama berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Saya juga berdoa semoga perkahwinan kali kedua ini diberkati Tuhan dan kekal hingga ke jannah,” katanya kepada pemberita.
Majlis pernikahan yang bertemakan rona putih itu dihadiri seramai 40 tetamu, terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan teman rapat. Selepas itu, acara diteruskan dengan majlis resepsi pihak perempuan yang diadakan pada jam 12 tengah hari.
Majlis resepsi di pihak lelaki pula akan diadakan minggu hadapan secara besar-besaran di Melaka, kampung halaman Joshua, dengan tema perkahwinan Jawa.
Pada Disember 2022, pemenang Bintang Asia Terbaik-Malaysia di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 menerusi drama original Tonton berjudul SeOfis itu, secara terbuka memperkenalkan Joshua, yang juga seorang pereka fesyen, kepada umum.
Kemudian, Saleha yang juga pelakon drama 7 Hari Mencintaiku berkongsi berita gembira bahawa mereka telah bertunang pada November tahun lalu.
Sebelum ini, Saleha pernah berkahwin dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun.
Sumber: Harian Metro