KUALA PILAH: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengingatkan semua pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal supaya tidak menganggap lorong kecemasan sebagai hak eksklusif mereka.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun berkata, hampir setiap hari terdapat kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal yang melanggar kenderaan statik di lorong kecemasan.
“Motosikal ketika itu beranggapan bahawa lorong (kecemasan) eksklusif untuk dia, tetapi lorong kecemasan sebenarnya untuk kenderaan-kenderaan yang mengalami kerosakan.
“Jadi kesedaran yang perlu kita ada bahawa lorong ini bukan eksklusif untuk motosikal iaitu mungkin ada kenderaan yang berhenti, supaya akan dapat lebih berhati-hati.
“Sekarang ini alhamdulillah bila ada smart lane, kita lihat penunggang-penunggang motosikal ini dulu kalau kita lalu (lorong kecemasan), dia akan tendang dan sebagainya tetapi sekarang dia tahu jalan ini dikongsikan bersama pengguna lebuh raya yang lain,” katanya ketika ditemui pada Mini Karnival Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Masjid Kariah Kampung Terusan Seberang di sini, hari ini.
Mengulas berhubung pengaktifan smart lane ketika waktu puncak, hujung minggu dan trafik sesak, Sazali memaklumkan, LLM bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuat penelitian terhadap lokasi-lokasi berlaku kesesakan untuk pelaksanaannya.
Menurutnya, ia merupakan langkah paling murah dan cepat bagi mengatasi kesesakan trafik di lebuh raya, namun hanya boleh digunakan kenderaan ringan sahaja.
“Ada banyak cara, satu pelebaran tiga lorong macam sekarang ini kita buat di Selatan. Jadi alhamdulillah, kita sudah dapat buat (smart lane), polis pun menyokong dan kita hendak memperbanyakkan lagi,” katanya. – UTUSAN
HABIS///