Sterling perlu rebut peluang

Sterling perlu rebut peluang

LEGENDA Arsenal, Ian Wright menggesa Raheem Sterling untuk mengambil peluang, ketiadaan Kai Havertz yang disisihkan akibat kecederaan, menyerlahkan potensi diri bersama The Gunners.

Malah, Wright percaya Sterling mempunyai peluang terbaik untuk mengubah kesuraman musimnya dengan berbaki saingan musim ini.

Wright juga memberi amaran kepada pemain berusia 30 tahun itu agar lebih bijak memanfaatkan peluang atau akan meninggalkan Emirates penuh penyesalan.

“Bagi Kai Havertz mendapat kecederaan pada peringkat ini ternyata itu telah memusnahkan baki musimnya di sini.

“Dan peluang telah muncul untuk Sterling, inilah masanya dia harus berkata, ‘Saya perlu membuat kerja ini’.

“Penyokong-penyokong Arsenal juga berharap anda (Sterling) boleh mendengar rintihan mereka, namun jika tidak melakukan sesuatu yang positif, ini bukan tempat bagus untuk kariernya,” katanya.

Arsenal sebelum itu berdepan perkhabaran buruk setelah Havertz disahkan tidak dapat meneruskan baki musim ini.

Havertz perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan hamstring semasa latihan di Dubai minggu lalu.

Sebagai rekod, pemain berusia 25 tahun itu, yang merupakan penjaring gol terbanyak kelab musim ini dengan 15 gol dalam semua pertandingan, menyertai senarai panjang pemain depan Arsenal yang cedera.

Sebelum ini, Gabriel Jesus mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli, kedua-duanya cedera hamstring juga terpaksa direhatkan.

Kecederaan Havertz, menyaksikan Arsenal kini menghadapi krisis barisan serangan yang serius akan diuji apabila bertandang ke Stadium King Power menentang Leicester City bagi aksi liga pada Sabtu.

Scroll to Top