hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Syarikat pembangun sektor marin dasar laut tempatan Ezed Energy Sdn Bhd (EESB) mensasarkan penjanaan nilai sebanyak USD65 juta (RM300 juta) hasil kerjasama syarikat peneraju robotik terulung dari Turkiye, Hoytek.
Perkongsian teknologi Kenderaan Kawalan Jarak Jauh (ROV) dasar laut itu dijangka terus berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif EESB, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kerjasama itu dijangka membabitkan perkongsian teknologi ROV yang lebih lestari yang mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar ROV tempatan bagi pasaran Asia pada masa hadapan.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hoytek yang pendekatan inovatifnya melengkapi misi kami untuk menyediakan penyelesaian lestari.
“Kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu dari segi kecekapan dan keselamatan dalam operasi bawah air selain membangunkan bakat tempatan Malaysia dalam bidang ini.
“Kenderaan ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan pertahanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fasa pertama kerjasama bermula dengan pengeluaran ROV Kelas Kerja untuk ditawarkan kepada pelbagai pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia, dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak RM300 juta.
Selain ROV, kerjasama itu juga akan memanfaatkan teknologi robotik terkini Hoytek serta kepakaran luas Ezed Energy dalam aplikasi tenaga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hoytek, Dr Bertan Tezcan menyatakan komitmen yang tinggi dalam meneroka sempadan teknologi bersama Malaysia.
“Hoytek sentiasa komited untuk meneroka sempadan teknologi. Kerjasama dengan EESB menambah nilai besar kepada visi kami untuk mencipta penyelesaian ROV yang pintar dan mampan bagi memenuhi permintaan moden dalam sektor marin dasar laut.
Pada 11 Februari lalu, EESB dan Hoytek menandatangani perjanjian perkongsian strategik bersempena lawatan rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
© New Straits Times Press (M) Bhd