Para pesawah menerima berita gembira apabila Kerajaan MADANI menyelaraskan harga lantai belian padi manakala pengguna pula boleh menarik nafas lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan.

Mohamad Sabu yakin penyelarasan harga lantai belian padi dapat bantu para pesawah serap kenaikan kos pengeluaran padi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan terbaru Kerajaan MADANI itu menyaksikan harga lantai belian padi diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuatkuasa Ahad ini.
Bagi harga jualan maksima BPT pula, Mohamad berkata ia dikekalkan RM2.60 sekilogram.
“Penyelarasan ini dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
“Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menegaskan, walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat.
Untuk tujuan itu katanya, Kerajaan Madani akan sentiasa mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.
“Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna,” jelasnya.

Pengumuman terbaru Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna – GAMBAR EHSAN: MD SHAHJEHAH MA’AMIN
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian.
Katanya, tindakan itu bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi negara.
“Justeru semua pihak diseru untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan.
“Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam soalan lazim (FAQ) pengumuman itu menjelaskan harga lantai belian padi tidak diselaraskan kepada RM1,800 sebagaimana diminta pesawah selepas mengambil kira beberapa faktor.
Antaranya ialah kos pengeluaran padi, pergerakan harga beras dunia serta unjuran permintaan dan penawaran beras tempatan.
“RM1,500 per tan metrik adalah kadar yang relavan pada masa ini bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pesawah, pengguna dan industri beras secara keseluruhan.
“Dari semasa ke semasa, pihak kementerian semestinya akan terus memantau dan mengkaji kesesuaian untuk menyelaraskan semula harga itu,” katanya.
FAQ itu turut menjelaskan penyelarasan harga lantai belian kepada RM1,500 itu membolehkan pesawah mendapat tambahan RM200 bagi setiap tan metrik padi.
“Ini menjadikan setiap tan metrik jualan padi, pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 (RM1,500 harga lantai+RM500 Skim Subsidi Harga Padi) memandangkan kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi harga padi sebanyak RM500 per tan metrik,” jelasnya.
FAQ itu turut menafikan penyelarasan harga lantai itu diumumkan kerana ada tekanan daripada pesawah.
Katanya, Penyelarasan Harga Lantai Belian Padi ini sememangnya telah termasuk dalam Reformasi Industri Padi & Beras yang sedang digerakkan pihak kementerian sejak Oktober 2024.