Tidak ambil SPM sebab mahu kerja di Singapura, pemikiran yang memalukan

Tidak ambil SPM sebab mahu kerja di Singapura, pemikiran yang memalukan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun berhasrat mahu bekerja di Singapura dengan meraih gaji lumayan, adalah tindakan yang tidak wajar dan memalukan.

Warga Malaysia yang bekerja di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 39 berkata kebanyakan syarikat di republik itu mengambil pekerja yang mempunyai kelulusan minima SPM atau setaraf.

Malah katanya, ada majoriti pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura mempunyai kelulusan diploma dan ijazah sarjana muda.

“Sangat memalukan dan saya sebagai orang Malaysia yang bekerja di Singapura menganggap tindakan itu adalah tindakan yang tidak bijak dan tidak berfikiran jauh.

“Peluang untuk kerja lebih cerah jika memiliki SPM, malah peluang kenaikan pangkat juga diutamakan kepada pekerja yang memiliki pelajaran.

“Hampir keseluruhan syarikat di Singapura menggunakan Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi. Jika tidak belajar dan tiada kelulusan bagaimana mahu bekerja di negara berstatus maju.

“Untuk permohonan permit kerja pula kebanyakan syarikat mengambil pekerja yang memiliki SPM dan ke atas kerana bayaran ‘Foreign Work Levy’ (FWL) lebih murah berbanding pekerja yang tidak mempunyai SPM,” katanya bekerja di republik itu sejak 2015 dengan kelulusan SPM.

Manakala bekas pekerja di Singapura, Siti Nur Amalina Omar, 38, berkata tanggapan seumpama itu hanya akan merugikan diri sendiri.

Katanya, dia pernah bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah hospital di Singapura sejak tahun 2018 dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Perbankan.

“Sikap (tidak ambil SPM sebab mahu bekerja di Singapura) sangat tidak wajar. Sekurang-kurangnya kena tahun Bahasa Inggeris kerana semua arahan atasan dalam bahasa itu.

“Kalau ada yang bercerita boleh masuk Singapura guna sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), itu adalah pekerja yang telah bekerja di Singapura sejak 20 tahun lalu dan mereka tidak dapat pelbagai faedah termasuk gaji lebih rendah dan peluang kenaikan pangkat,” katanya.

Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, dilaporkan berkata antara punca keciciran menduduki SPM adalah kerana ada yang beranggapan kelayakan SPM tidak penting dan masih boleh mendapat pekerjaan di Singapura dengan tawaran gaji yang besar susulan kadar mata wang tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top