Riyadh: Piala Dunia Fifa 2034 dijangka menjadi pengalaman yang mengejutkan bagi peminat bola sepak selepas Arab Saudi mengumumkan bahawa alkohol tidak dibenarkan di kejohanan itu.
Malah bukan sahaja di stadium, tetapi juga di hotel dan tempat lain di seluruh negara dengan duta Arab Saudi ke United Kingdom mengesahkan perkara itu.
Putera Khalid bin Bandar Al Saud berkata, penyokong yang mengunjungi kejohanan itu perlu menghormati adat resam negara tuan rumah, di mana pengambilan alkohol adalah dilarang sama sekali.
“Setiap orang mempunyai budaya masing-masing.
“Kami gembira untuk menerima orang dalam batasan budaya kami tetapi kami tidak mahu menukar budaya kami untuk orang lain,” katanya kepada laman berita UK, LBC.
Duta itu menyindir dengan mengatakan sama seperti cuaca kering di Arab Saudi, “Ia adalah negara yang kering.”
“Banyak keseronokan boleh didapati tanpa alkohol. Ia tidak 100 peratus perlu dan jika anda mahu minum anda boleh berbuat demikian selepas keluar tetapi buat masa ini kami tidak mempunyai alkohol,” tambahnya.
Ketersediaan alkohol menjadi perbualan sebelum Piala Dunia 2022 di Qatar, di mana peminat hanya dibenarkan membeli minuman keras di hotel dan kawasan peminat yang ditetapkan, tetapi tidak di dalam stadium.
© New Straits Times Press (M) Bhd