Lelaki hilang selepas keluar memancing ditemui mati di puncak bukit

Lelaki hilang selepas keluar memancing ditemui mati di puncak bukit

am@hmetro.com.my

Ranau: Lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus, di sini, sejak 3 Februari lalu, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mangsa, Mokthar Azrin Amat, 30, ditemui orang awam kira-kira 5 petang di puncak bukit, kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.32 pagi tadi.

Katanya, mangsa keluar memancing jam 10 pagi pada 3 Februari lalu dan pada 6 Februari lalu bapa mangsa ada menghubunginya dan dia memaklumkan akan balik pada 9 Februari.

“Namun sehingga 10 Februari lalu mangsa masih belum pulang ke rumah menyebabkan keluarganya datang mencari di lokasi memancing.

“Bagaimanapun hanya didapati motosikal mangsa berada di lokasi lalu mereka melakukan pencarian di sepanjang Sungai Gayo Nagas Ponulagon namun gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perjalanan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Perjalanan ke lokasi agak sukar kerana melalui jalan belukar dan berbukit. Kira-kira jam 5 petang tadi, ahli keluarga memaklumkan menemui mangsa di puncak bukit, kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi mangsa ditemui bersama agensi bantuan yang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top