57 tapak bazar Ramadan di Terengganu tahun ini

57 tapak bazar Ramadan di Terengganu tahun ini

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyediakan sebanyak 57 lokasi bazar Ramadan di seluruh Terengganu pada Ramadan kali ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 4,456 peniaga di lapan daerah.

Beliau berkata, menerusi itu, Kuala Terengganu merekodkan jumlah bazar Ramadan terbanyak iaitu sebanyak 12 lokasi membabitkan 1,289 peniaga diikuti Besut (sembilan lokasi, 534 peniaga) serta lapan di Kemaman membabitkan 565 peniaga.

“Sebanyak tujuh bazar Ramadan disediakan di Kuala Nerus, Marang dan Setiu masing-masing enam bazar, lima bazar di Dungun dan empat lagi di Hulu Terengganu.

“Secara keseluruhan, ia menunjukkan penambahan dua bazar berbanding 55 bazar Ramadan membabitkan 4,086 peniaga pada 2024,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Medan Selera D Muara Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir, Khazan Che Mat dan Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif.

Wan Sukairi berkata, semua bazar Ramadan di Terengganu turut disarankan menggunakan kaedah pembayaran secara tanpa tunai untuk mengurangkan risiko pencemaran silang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menyewakan lot niaga kepada warga asing.

“Sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan, tindakan perundangan seperti pengeluaran notis dan kompaun boleh dikeluarkan oleh pihak penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top