Seorang wanita dikenali sebagai ‘Ika’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas dakwaan menipu isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, membabitkan wang berjumlah RM105,380 berkaitan kes penahanan suaminya dalam kes dadah.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, yang bekerja sebagai peniaga, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa memperdaya Afreena, 33, dengan mendakwa mampu membantu menjamin Along atau nama sebenarnya Muhamad Nizamudin Ahmad, selain menurunkan seksyen pertuduhan terhadapnya.
Terpedaya dengan janji tersebut, mangsa melakukan 26 transaksi ke lima akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM105,380, yang mana bayaran itu tidak akan dibuat sekiranya dia tidak diperdayakan.
Perbuatan tersebut didakwa berlaku di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, antara jam 6.06 petang pada 22 Disember tahun lalu hingga 1.24 petang pada 14 Januari lalu.
Kes ini didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan, serta denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi, mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebagai peniaga dan perlu menanggung tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Nurdiyanah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 21 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena telah membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang sebanyak RM95,180.
Artikel Berkaitan: Along Cham Dakwa Isteri Seleweng Dana Orang Awam Cecah RM100,000, Aaron Aziz Turut Jadi Mangsa Penipuan?
Artikel Berkaitan: Nafi Seleweng Dana Hampir RM100,000, Isteri Along Cham Lega ‘Scammer’ Dah Ditangkap Polis
Sumber: Harian Metro