farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan untuk tidak membincangkan isu Titah Adendum adalah selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, urusan semakan kehakiman dan pengampunan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah dan Lembaga Pengampunan masing-masing
Katanya, permohonan semakan kehakiman yang difailkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu membenarkan prosiding tersebut untuk diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Oleh kerana perkara ini masih dalam pertimbangan mahkamah, ia tidak boleh dibincangkan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g).
“Kerajaan sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi institusi Diraja serta memastikan segala titah dan arahan Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung pendirian dan tindakan Kerajaan berkenaan isu kewujudan Titah Adendum sama ada wujud elemen sabotaj atau pengabaian serius terhadap pelaksanaan Titah Yang di-Pertuan Agong demi mempertahankan kedaulatan institusi Diraja serta integriti sistem pentadbiran negara.
Azalina berkata, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri serta disokong oleh penjawat awam sentiasa dan pada setiap masa taat setia kepada Raja dan Negara.
Pada 6 Januari lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd