SEPANG: Seorang penternak lembu ditahan kerana memiliki pistol tiruan ketika operasi sekatan jalan raya, di sini pagi semalam.
Dalam operasi sekatan jalan raya di Jalan Lebuh Bukit Puchong oleh anggota Balai Polis Putra Perdana sekitar pukul 10.05 pagi itu, suspek ditahan ketika menaiki motosikal jenis Yamaha Y15.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G Shan Gopal berkata, pemeriksaan ke atas suspek kemudian menemukan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam beserta sarung pistol di dalam bakul motosikal.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas magazine yang mengandungi empat butir peluru jenis bebola logam.
“Hasil siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai penternak lembu di Pulau Meranti, Puchong dan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk dua kes dadah dan dua kes jenayah.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 di Mahkamah Majistret Sepang esok.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shan Gopal berkata, pihak polis menasihatkan masyarakat untuk tidak membawa apa-apa amunisi atau senjata api walaupun senjata tiruan kerana satu kesalahan dan mengundang kegusaran awam. – UTUSAN