Bagi alasan tercekik biskut, bayi dibunuh bapa tiri

Bagi alasan tercekik biskut, bayi dibunuh bapa tiri

London: Malang nasib Charlie Roberts, bayi berumur 22 bulan di United Kingdom (UK) yang digoncang bapa tirinya, Christopher Stockton hingga maut.

Mirror UK melaporkan, Stockton, 38, yang diamanahkan menjaga Charlie bagaimanapun cuba menutup kesalahannya dengan mengatakan bayi itu meninggal dunia akibat tercekik biskut.

Ibu Charlie, Paula Roberts, 41, meninggalkan anaknya dalam jagaan Stockton, di rumahnya dekat Darlington ketika dia menjalani ujian mata pada Januari lalu.

Selepas Charlie tidak sedarkan diri, Stockton menghubungi talian kecemasan 999 dan kedengaran dia memberitahu kanak-kanak yang hampir tidak bermaya itu untuk bangun.

“Ayuh, Charlie. Ayuh, bangun, bangun,” katanya.

Ketika membuat panggilan, Stockton mendakwa Charlie jadi lesu dan tercungap-cungap ketika mereka bermain bersama di dalam rumah.

Operator panggilan menerangkan cara lelaki itu melakukan bantuan pernafasan (CPR).

Disebabkan terdesak untuk menutup perbuatannya, Stockton memberitahu anggota paramedik dan polis bahawa anak muda itu tercekik biskut dan menjelaskan dia menepuk belakang kanak-kanak itu dan memasukkan jarinya ke tekak mangsa.

Bagaimanapun, anggota paramedik mendapati tiada apa-apa yang menghalang saluran pernafasan Charlie dan ujian kemudian mengesahkan mangsa yang tidak berdaya itu mengalami kecederaan otak yang tidak dapat dihidupkan.

Charlie meninggal dunia di Hospital Newcastle pada keesokan harinya.

Stockton, akhirnya didapati bersalah membunuh anak tirinya Charlie pada bulan Disember dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 25 tahun pada bulan ini.

Mahkamah diberitahu Charlie mengalami kecederaan teruk malah ibunya juga mengakui satu tuduhan pengabaian.

Ibu kepada lima anak itu juga gagal mendapatkan bantuan perubatan untuk Charlie selepas mengalami kecederaan pada bahagian sulit dan telinganya.

Ahli keluarga dan kakitangan di taska Charlie melaporkan terdapat lebam pada tubuh bayi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top