KLANG: Seorang bapa berdepan hukuman penjara dan sebatan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya, hujung tahun lalu.
Pekebun berusia 34 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon ikat jamin serta dibicarakan atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu sebagai bapa kandung didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia tujuh tahun (ketika kejadian) dengan cara menjilat kemaluan bagi tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan di bilik tidur sebuah rumah di sekitar Kapar di sini, pada Disember 2024. Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.
Sabit kesalahan antaranya memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri tidak menawarkan kos ikat jamin dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan bapa kandung dan tinggal bersama mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan kerana mempunyai tanggungan keluarga dan bergaji RM700 sebulan sebagai pekebun.
Noridah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintah tidak tinggal bersama mangsa sepanjang perbicaraan kes. Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 April depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa di sekitar Kuala Selangor, kira-kira pukul 8.29 malam, 1 Februari lalu.
Siasatan awal mendapati suspek bercerai sejak 13 Februari 2022 dan mangsa yang tinggal bersamanya dibenarkan bersama ibu pada hujung minggu serta cuti persekolahan.
Wanita itu bagaimanapun dimaklumkan oleh mangsa yang kini berusia lapan tahun bahawa suspek melakukan hubungan seks dengannya. – UTUSAN