am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Ibarat lilin membakar diri. Ungkapan itu tepat bagi menggambarkan pengorbanan seorang lelaki menjaga ibu yang uzur selain enam anak saudara sejak kecil.
Amiruddin Abd Karim, 65, dari Kampung Paya Keladi, di sini berkata, dia menyara enam anak saudara selepas adiknya berdepan masalah rumah tangga.
Menurutnya, empat daripada enam anak saudaranya iaitu masing-masing dua perempuan dan dua lelaki berusia 12, 14, 16 dan 17 tahun masih bersekolah manakala dua lagi berusia 18 dan 21 tahun sudah bekerja.
Katanya, dia sebelum ini turut menjaga ibunya, Fatimah@Hasmah Yusof, 87, yang terlantar sakit tua.
“Namun sejak September lalu, kakak mengambil alih tugas menjaga ibu.
“Kasihan melihat semua anak saudara saya ini tiada tempat berteduh. Justeru sebagai bapa saudara saya mengambil alih tugas sebagai ayah dan ibu mereka.
“Berbekalkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan dan wang simpanan, saya menguruskan kesemua mereka,” katanya yang tidak pernah berkahwin.
Menurutnya, dia turut memperoleh wang bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM3,000 setahun.
Katanya, ketika ibunya masih sihat, dia dan ibunya berniaga nasi berlauk di hadapan rumah.
“Namun selepas ibu semakin uzur, dia terpaksa menutup perniagaan itu kira-kira tujuh tahun lalu.
“Memandangkan usia saya semakin lanjut, saya tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan kerajaan.
“Alhamdulillah, selagi termampu, saya akan menjaga kesemua anak saudara kerana ia adalah amanah buat saya.
“Takdir mereka (anak-anak) saudara sudah tertulis. Sebagai bapa saudara harus memastikan kesemua terbela termasuk persekolahan mereka,” katanya selepas Program PETRONAS Memperkasakan Ilmu: Back to School 2025 (BTS 2025), di sebuah hotel di sini, semalam.
Menurutnya, tanggungjawab menjaga enam anak saudaranya itu tidak dianggap sebagai beban malah merasakan ia suatu yang wajib kerana kesemua mereka adalah darah dagingnya juga.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan yang disampaikan mampu meningkatkan motivasi pelajar yang kurang berkemampuan.
“Diharapkan sumbangan ini mampu membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah, untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd