Shuib berdepan hutang jutaan ringgit

Shuib berdepan hutang jutaan ringgit

fatin.farhana@bh.com.my

Kuala Lumpur : Pelawak popular dan ahli perniagaan, Shuib mengaku dia berdepan hutang sebanyak puluhan juta ringgit dalam perniagaannya.

Shuib berkata, semua itu adalah hutang perniagaan membabitkan pihak kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan cukai.

“Inilah risiko dan ujian dalam berniaga. Kalau berniaga kecil-kecil tidak pening sangat. Tetapi apabila perniagaan besar, memang ada cabarannya.

“Apabila jualan sudah capai puluhan ribu ringgit, kita rasa besar. Kemudian, ratusan ribu ringgit, sekarang, berjuta-juta ringgit, jadi risikonya pun besar. Tiada niaga juta-juta, risikonya kecil. Kata orang, besar periuk besarlah keraknya,” katanya.

Bagaimanapun, Shuib mendakwa perniagaannya dalam keadaan baik. Apa yang perlu dibuat adalah mengurus dan merancang dengan lebih baik pada masa hadapan.

“Kalau tersalah urus dan rancang, memang berdepan risiko, tetapi saya okay saja. Jika ahli perniagaan, perkara ini adalah normal. Baru hebat niaga juta-juta ringgit.

“Saya takkan berhenti dengan rasa yakin. Saya pegang satu saja, selagi tidak berhenti, kita belum gagal. Perniagaan saya masih berjalan.

“Banyak benda kena betulkan. Saya sebenarnya tidak pandai dan hanya budak kampung. Tetapi Allah bagi rezeki. Saya anggap satu anugerah. Tahu atau tidak, kena buat jadi tahu,” katanya.

Sebelum ini, rakannya, Mamat Sepah yang bakal mengerjakan umrah bersama Shuib pada Aidilfitri ketiga ini berkongsi mahu mendoakan kemudahan dan kelancaran buat sahabatnya itu yang berdepan pelbagai ujian termasuk berdepan hutang sebanyak puluhan juta ringgit.

Shuib berkata, dia terharu dengan niat Mamat itu dan mengakui Mamat adalah sahabat paling rapat dengannya sekarang.

“Inilah namanya sahabat, sentiasa ada bersama ketika susah dan senang. Pada masa sulit, boleh doakan kita. Saya tidak terfikir Mamat boleh pasang niat mahu mendoakan saya di Makkah.

“Mamat paling rapat dengan saya. Kami ada banyak projek bersama seperti drama dan rakaman single. Memang ada banyak perancangan projek raya atau lain-lain, tahun ini.

“Dia banyak tahu keadaan saya. Saya bersyukur Mamat ambil tahu dan tergerak hati nak doakan saya di Tanah Suci. Sebabnya, doa seorang kawan juga Allah angkat dan kabulkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top