am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Koronari (CCU) dan seterusnya Unit Dependensi Tinggi (HDU), pelakon Zamarul Hisham dipindahkan ke wad biasa, hari ini.
Isterinya juga pelakon, Diana Rafar berkata, dia dan keluarganya bersyukur melihat keadaan Zamarul bertambah baik.
“Alhamdulillah, suami sudah dipindahkan ke wad biasa. Dia sudah mendapatkan rawatan lengkap di ICU, CCU dan HDU, sekarang perlu melalui rawatan susulan di wad biasa.
“Anak-anak pun baru dapat jumpa suami hari ini sebab tak boleh masuk ke ICU. Jadi, mereka baru dapat jumpa, ia berkat doa orang ramai.
“Memang ada keajaiban sebab doktor kata suami okay, tak kritikal dan hanya mengalami ‘mild heart attack’. Sekarang, suami dapat berehat seketika sebelum meneruskan penggambaran yang tergendala,” katanya.
Rabu lalu, Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran. Kemudiannya, Zamarul dipindahkan ke sebuah pusat perubatan si Sunway untuk rawatan lanjut.
Diana berkata, dia belum berbincang dengan pihak produksi sama ada menyambung penggambaran atau sebaliknya.
“Suami mengalami sesak nafas ketika penggambaran sedang berjalan, ada berbaki tiga hingga lima babak lagi.
“Tengok jasa baik Zeel Production sama ada mahu Zamarul teruskan atau boleh buang babak. Mereka belum bincang lagi, tunggu suami berehat dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Diana mewakili Zamarul juga menzahirkan penghargaan kepada sahabat dan peminat yang mendoakannya.
Sebelum ini, Diana berkongsi beberapa video dalam Instagram berkenaan suaminya yang mengalami sesak nafas di lokasi penggambaran.
Malah, pelakon drama Ternyata Sebuah Bahagia itu sempat dibantu beberapa kru yang terbabit sebelum ambulans tiba.
© New Straits Times Press (M) Bhd