London: Data daripada akaun TikTok milik empat kanak-kanak British yang ibu bapa mereka percaya meninggal dunia selepas mencuba satu cabaran di platform itu mungkin telah dipadam, kata seorang eksekutif syarikat berkenaan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Keluarga kanak-kanak berusia antara 12 hingga 14 tahun itu telah memfailkan saman terhadap TikTok dan syarikat induknya, ByteDance, di Amerika Syarikat dalam usaha memaksa syarikat tersebut mendedahkan data anak-anak mereka.
Saman kematian akibat kecuaian itu mendakwa keempat-empat mereka meninggal dunia selepas mencuba cabaran yang dikenali sebagai blackout challenge’ dan menegaskan mereka mahu mendapatkan akses kepada data akaun anak-anak mereka bagi “mendapatkan jawapan” mengenai punca kematian.
Bagaimanapun, pengurus kanan perhubungan kerajaan TikTok, Giles Dennington, memberitahu BBC Radio 5 Live bahawa “ada perkara yang kami memang tidak ada”.
Selepas tuntutan mahkamah terhadap TikTok difailkan minggu lalu, Ellen Roome, ibu kepada seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang meninggal dunia, memberitahu agensi berita PA bahawa beliau telah berusaha mendapatkan data anaknya daripada TikTok kerana “hanya mahukan jawapan” mengenai kematian anaknya dan data itu adalah “satu-satunya bahagian yang belum kami lihat”.
Roome berkata beliau “terkejut” apabila mendapati dirinya “tidak berhak” ke atas data anaknya dan dimaklumkan oleh TikTok bahawa perintah mahkamah diperlukan untuk mendapatkannya.
Beliau kini berkempen untuk mewujudkan undang-undang yang memberi hak kepada ibu bapa untuk mengakses akaun media sosial anak mereka sekiranya mereka meninggal dunia.
Beliau memberitahu PA bahawa amat “sukar” baginya untuk “tidak memahami mengapa” anaknya meninggal dunia.
Ketika ditanya mengapa ibu bapa dalam kes itu tidak dapat mengakses data, Dennington berkata: “Ini perkara yang sangat rumit kerana ia berkaitan dengan keperluan undang-undang mengenai bila kami perlu memadam data dan di bawah undang-undang perlindungan data, terdapat keperluan untuk memadam data dengan agak cepat. Ini memberi kesan kepada apa yang boleh kami lakukan.”
Beliau menambah bahawa keperluan perlindungan data untuk memadam data “boleh memberi kesan kepada ketersediaannya” dan bahawa “semua orang mengharapkan apabila kami dikehendaki oleh undang-undang untuk memadam data, kami telah memadamkannya”.
“Jadi, ini adalah situasi yang lebih rumit daripada sekadar kami mempunyai sesuatu tetapi tidak memberikan akses kepadanya.
“Sudah tentu, adalah penting kes ini diselesaikan dengan sewajarnya dan semua pihak mendapat sebanyak mungkin jawapan yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata, syarikat media sosial itu telah mengadakan perbincangan dengan sebahagian ibu bapa berkenaan untuk cuba membantu mereka dalam perkara ini.
Saman yang difailkan bagi pihak ibu bapa menuduh TikTok memaparkan video gurauan dan cabaran berbahaya kepada kanak-kanak bagi meningkatkan masa keterlibatan pengguna di platform itu.
Menurut TikTok, ia tidak membenarkan kandungan yang memaparkan atau mempromosikan aktiviti atau cabaran berbahaya, dan secara proaktif mengesan 99 peratus daripada kandungan yang melanggar peraturan sebelum ia dilaporkan kepada syarikat.
Dennington berkata, cabaran yang dikenali sebagai “blackout challenge” telah wujud sebelum TikTok dan syarikat itu “tidak pernah menemui sebarang bukti bahawa cabaran tersebut menjadi trend di platform ini”.
“Malah sejak 2020, (kami) telah melarang sepenuhnya carian bagi perkataan ‘blackout challenge’ atau variannya, bagi memastikan tiada sesiapa yang terdedah kepada kandungan seperti itu,” katanya.
“Kami tidak mahu perkara seperti itu berada di platform dan kami tahu pengguna juga tidak mahukannya.”
Beliau menambah, “Ini adalah situasi yang benar-benar tragis tetapi kami sentiasa berusaha melakukan segala yang termampu untuk memastikan pengguna selamat di TikTok.”
© New Straits Times Press (M) Bhd