Pelakon dan pelawak, Along Cham berkongsi pengalaman dipenjara di Sungai Buloh dan mengakui tidak lagi melihat penjara sebagai tempat yang menakutkan.
Menurut laporan Harian Metro, dia menganggap ia sebagai madrasah yang mengajarnya banyak pengajaran hidup ketika ditempatkan di Blok Tawakal yang khas untuk kes berprofil tinggi.
Walaupun pada awalnya dia berasa cemas, dia terkejut apabila pegawai penjara menyambutnya dengan baik dan memberi semangat kepadanya.
Saya tak sangka disambut dengan senyuman oleh anggota penjara. Mereka beri semangat kepada saya dan banyak pengajaran menginsafkan saya dapat di sana.
Nasihat dari Timbalan Pengarah Penjara
Along turut mendedahkan bahawa Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh sendiri bertemu dengannya pada hari kedua untuk memastikan dia tidak mengalami tekanan mental.
Dia pegang bahu saya dan cakap, ‘awak belum lagi dilabel banduan. Saya mahu selepas keluar dari sini, awak jadi lebih kuat. Awak janji dengan saya.’
Kata-kata itu memberi kekuatan kepada Along untuk menghadapi ujian ini dengan lebih tabah.
Along Cham dibantu keluarga dan Didie Alias
Dalam temu bual bersama Didie Alias di D’Apetu Show, Along turut berterima kasih kepada ibu angkatnya itu yang banyak membantunya, termasuk menjaga anak tunggalnya, Ahmad Daniel ketika dia berada dalam tahanan.
Malah, Didie juga antara individu yang menyumbang wang ikat jamin RM5,000 bagi membantu Along keluar dari penjara.
Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Sepang telah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Along Cham pada 27 Januari 2025 atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis yang ditemui di rumahnya di Cyberjaya pada Disember lalu.
Namun, sebelum ini, dia pernah didakwa memiliki bahan disyaki dadah pada 20 Disember 2024 selepas ditangkap pihak berkuasa.
#OhmediaNasihat
Setiap ujian dalam hidup ada hikmahnya. Kesilapan lalu bukan penamat, sebaliknya peluang untuk bangkit dan berubah menjadi lebih baik.
Semoga Along Cham terus kuat dan mengambil pengajaran daripada pengalaman ini.
