Suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh, 6 das tembakan dilepaskan penyerang

Suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh, 6 das tembakan dilepaskan penyerang

am@hmetro.com.my

Kluang: Enam das tembakan dilepaskan namun ajal belum tertulis menyebabkan pasangan suami isteri terselamat daripada cubaan bunuh di kediaman mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan itu bernasib baik kerana peluru dilepaskan tidak mengenai mereka dan tersasar ke sekitar lokasi kejadian.

“Semalam jam 12.17 tengah hari, semasa pengadu Dian Yulandi Suboh, 36, berada di rumah, dia ternampak sebuah Perodua Bezza masuk ke halaman kediaman.

“Pengadu berdiri di hadapan pintu rumah sebelum didatangi tiga lelaki.

“Salah seorang suspek mengeluarkan pistol dari pinggang dan kemudian mengacu dan melepaskan empat das tembakan ke arah mangsa dan suaminya.

“Suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya tiada sebarang kecederaan dialami mangsa.

Bahrin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis berjaya menahan seorang daripada suspek yang mempunyai 27 kes jenayah lampau dikenali sebagai Man Tiger.

“Salah seorang suspek dikenali sebagai Man Tiger, 32, berasal dari Simpang Renggam positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan urin yang dijalankan,” katanya.

Bahrin berkata, pihaknya mengenalpasti tujuh lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan kini diburu polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ketika diminta mengulas lebih terperinci mengenai kes itu Bahrin berkata, semuanya masih dalam siasatan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top