London: Plymouth Argyle yang menyingkirkan Liverpool daripada saingan Piala FA, diundi bertemu juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada pusingan kelima.
Juara bertahan Manchester United akan melayan kunjungan Fulham di Old Trafford, dengan finalis Piala Liga, Newcastle United menentang Brighton & Hove Albion di laman sendiri.
Bournemouth akan melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers dalam satu lagi pertemuan antara pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris.
Plymouth yang menghuni tangga tercorot Liga Kejuaraan mencetus kejutan terbesar Piala FA apabila menewaskan Liverpool 1-0, sekali gus menamatkan misi empat kejuaraan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu musim ini.
City yang mara ke pusingan kelima dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan divisyen tiga, Leyton Orient, masih belum mencapai prestasi terbaik mereka musim ini.
Nottingham Forest bakal melengkapkan pertemuan keempat pasukan Liga Perdana Inggeris sekiranya berjaya mengatasi kelab divisyen tiga, Exeter City malam ini, dengan Ipswich Town menanti pemenang perlawanan berkenaan.
Aston Villa, yang menamatkan harapan Tottenham Hotspur hujung minggu lalu, akan melayan kunjungan pasukan Liga Kejuaraan, Cardiff City.
© New Straits Times Press (M) Bhd