![Pertahankan ibu, anak maut dipukul ketua kampung Pertahankan ibu, anak maut dipukul ketua kampung](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/02/11/3002529.jpg)
Suspek bakal dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara. – Agensi
JAKARTA – Ketua Kampung Kabupaten Lampung ditahan polis kerana dipercayai memukul seorang pemuda hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Ketua Polis Lampung Selatan, AKBP Yusriandi Yusrin berkata, mangsa, Reymico Glen Farisal, 19, dipercayai cedera parah selepas dipukul oleh Hariyanto, 44, dengan sebatang kayu dalam kejadian pada 23 Januari lalu.
“Mangsa dipukul beberapa kali di bahagian kepala, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh jiran dan dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani rawatan selama dua minggu di hospital,” katanya kepada wartawan pada Sabtu lalu.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kejadian bermula semasa mangsa mengunjungi rumah pelaku bagi tujuan meleraikan perselisihan faham antara ibu mangsa dan pelaku.
“Ketika dia melihat ibunya dicekik dan ditampar dia cuba melindungi ibunya itu.
“Bagaimanapun tindakan itu menyebabkan pelaku naik berang lantas memukulnya berkali-kali,” katanya.
Jelas Yusriandi, tindakan Hariyanto itu menyebabkan dia bakal dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun penjara. – Agensi