Putrajaya: Lawatan Presiden Recep Tayyip Erdoğan ke Malaysia hari ini mengukuhkan semula hubungan erat, berkekalan dan berpandangan jauh antara Malaysia dan Turkiye, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata selama lebih dari dua dekad, Erdoğan telah memimpin Turkiye melalui era transformasi yang luar biasa.
“Beliau telah melakukannya dengan kejelasan tujuan dan keyakinan yang jarang dan patut dicontohi.
“Sesungguhnya, Presiden Erdoğan telah mengubah cara diplomasi Turki, mengembalikan kebanggaan negara, dan memposisikan Turkiye sebagai pemain yang tidak dapat diketepikan di pentas global,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah umum oleh Erdoğan di sini hari ini.
Erdoğan tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri.
Anwar menggambarkan persahabatannya dengan Erdoğan sebagai hubungan yang dibina bukan atas kepentingan, tetapi atas dasar solidariti yang teguh.
“Pada saat-saat kesukaran peribadi, beliau menghulurkan bantuan ketika ramai yang menjauhkan diri. Sokongannya bukanlah sekadar untuk memenuhi kewajipan atau kepentingan politik.
“Tidak, ia adalah sokongan ikhlas atas rasa persaudaraan yang tulus. Saya tidak pernah melupakannya, dan saya tidak akan pernah lupa,” katanya.
Seterusnya, Anwar turut menggambarkan perjalanan Erdoğan sebagai satu kisah keteguhan yang luar biasa.
“Dari dipenjarakan hingga ke jawatan tertinggi di negara ini, kisahnya bukan sekadar tentang bertahan hidup, tetapi tentang kejayaan.”
“Beliau tidak sekadar mengharungi kesulitan, malah telah mengubahnya menjadi sumber kekuatan yang menghasilkan ketahanan yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bahawa Turkiye hari ini lebih kuat, lebih yakin, dan lebih bertekad daripada mana-mana waktu dalam sejarah moden negara itu, dan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kepimpinan Erdoğan.
“Hari ini, kami menyambut bukan sahaja seorang ketua negara, tetap juga seorang pemimpin yang pengaruhnya dirasai jauh melangkaui sempadan negaranya.
“Sebagai wakil Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Erdoğan kerana telah meluangkan masa bersama kami hari ini,” katanya.
Terdahulu, Erdoğan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam diplomasi global dan rundingan antarabangsa.
Ijazah kehormat tersebut telah disampaikan kepada Erdoğan oleh Canselor UM, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa majlis konvokesyen khas yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd