Skuad negara ‘raih kemenangan pertama’ di Qingdao

Skuad negara ‘raih kemenangan pertama’ di Qingdao

JURULATIAH badminton perseorangan lelaki, K Yogendran menyifatkan skuad muda negara Kejuaraan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 sudah ‘meraih kemenangan pertama’ di Pusat Sukan Qingdao Conson, Qingdao, China apabila menampilkan keazaman tinggi semasa sesi latihan pada Isnin.

Malah jelas Yogendran, pemain skuad BAMTC 2025 juga mempamerkan persembahan bertenaga semasa sesi latihan masing-masing.

“Namun aspek yang paling penting dijelmakan dalam kalangan pemain adalah semangat berpasukan apabila mereka menyokong antara satu sama lain

“Sepanjang sesi latihan, mereka menyokong satu sama lain dan ini merupakan permulaan yang baik kerana bagi acara berpasukan semangat berpasukan pasukan penting perlu berada pada tahap terbaik

“Jadi apabila kita turun menjalani latihan hari ini kita sudah menang di situ, satu perkara yang positif untuk pemain sebelum perlawanan pertama pada Rabu,” katanya.

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka gelanggang menentang Hong Kong pada Rabu sebelum berdepan Indonesia dengan dua pasukan teratas layak ke suku akhir kejuaraan yang berlangsung bermula Selasa hingga 16 Februari ini.

Empat pasukan terbaik pula akan meraih tiket automatik ke Kejuaraan Piala Sudirman di Xiamen, China, yang dijadualkan berlangsung Mei depan.

Sementara itu, kapten skuad negara Hoo Pang Ron mengakui pasukan muda bakal berdepan ujian getir dalam BAMTC 2025.

Namun pemain beregu campuran negara tersebut juga percaya suasana kondusif dalam pasukan ketika ini dapat membantu pemain menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan di BAMTC Qingdao.

“Persekitaran positif dalam kem pasukan perlu dikekalkan kerana ini penting bagi acara berpasukan seperti BAMTC.

“Sokongan satu sama lain dalam kalangan amat penting dan perlu konsisten biar pun pasukan berdepan apa keadaan sekali pun di gelanggang.

“Semangat juang setiap pemain yang diturunkan juga perlu berada pada tahap tinggi, selain kami juga mengharapkan sokongan berterusan penyokong badminton negara terhadap skuad muda ini,” katanya yang teruja diberikan tanggungjawab memimpin skuad muda negara di BAMTC.

INFO

Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC) Qingdao, China (11 Februari hingga 16 Februari)

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Hong Kong.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Empat pasukan terbaik pula akan meraih tiket automatik ke Kejuaraan Piala Sudirman di Xiamen, China, yang dijadualkan berlangsung Mei depan.

MALAYSIA

Perseorangan Lelaki

Leong Jun Hao

Justin Hoh

Perseorangan Wanita

K. Letshanaa

Wong Ling Ching

Beregu Lelaki

Man Wei Chong-Tee Kai Wun

Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi

Beregu Wanita

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee

Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui

Pasangan Beregu Campuran

Goh Soon Huat-Shevon Lai

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin

Scroll to Top