am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Lembaga Koko Malaysia (LKM) digesa untuk memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan bekalan koko domestik bagi memastikan kelestarian industri koko negara ini.
Menteri Peladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah terbabit penting dalam menghadapi cabaran global seperti kekurangan bekalan biji koko.
“Saya difahamkan bahawa mulai tahun ini, LKM telah mula melaksanakan Program Galakan Tanaman Koko. Program selama lima tahun ini akan dilaksanakan pada tahun 2025 hingga 2029.
“Dengan peruntukan RM4 juta bagi tahun ini, LKM akan memberi insentif anak pokok koko kepada kawasan ladang terpilih seluas 350 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia 2025 bertempat di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Ramle Kasin.
Dalam pada itu, beliau turut berkata industri koko negara telah mencatatkan perkembangan positif tahun lalu di mana industri ini merekodkan peningkatan 70 peratus pengeluaran domestik biji koko kering dari 269 tan metrik pada tahun 2023 kepada 456 tan metrik.
Katanya, antara faktor peningkatan pengeluaran adalah melalui Program Pemulihan Kebun Koko yang sedang berjalan sejak awal tahun 2024.
“Dengan peruntukan RM9.5 juta bagi tempoh 2024 – 2026, LKM telah memberi insentif input pertanian seperti baja, racun, ubat kawalan penyakit, peralatan pertanian dan sebagainya kepada 3,296 orang pekebun kecil koko dengan sasaran pemulihan seluas 2,126 hektar ladang koko,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkata petani koko juga lebih mempergiatkan pengutipan biji koko disebabkan oleh harga biji koko kering yang meningkat sehingga 141 peratus iaitu RM24,274 tan pada tahun 2024 berbanding tahun 2023 iaitu RM10,073 tan.
“Nilai eksport produk koko dan coklat juga telah meningkat sebanyak 64 peratus. Hasil daripada sokongan dan program promosi LKM, Malaysia telah memperluaskan pasaran produk koko ke 205 destinasi pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Malaysia juga dapat mengekalkan kedudukan sebagai negara pengisar koko keempat terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 383,000 tan pada tahun 2024, selepas Ivory Coast (680,000 tan), Belanda (590,000 tan) dan Jerman (460,000 tan).
© New Straits Times Press (M) Bhd