SYARIKAT minuman jenama tempatan, Haos Ek? akan terus memberikan sokongan terhadap pembangunan dan potensi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anis Permin berkata, sokongan tersebut penting bagi meneruskan kesinambungan industri berskala mikro, kecil dan sederhana.
Menurutnya, menerusi sokongan daripada pelbagai agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri secara holistik selama empat tahun telah menjadikan perusahaan Haos Ek? kekal kompetitif dalam pasaran.
“Usaha daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri merangkumi pembentukan inovasi, menyediakan sumber daya dan membentuk pemikiran keusahawanan yang mempunyai daya tahan tinggi.
“Agensi-agensi ini telah menjadi antara faktor penggerak utama dalam perniagaan seperti kami untuk bertahan dalam pasaran yang dinamik dan kompetitif.
“Kami sangat berterima kasih dan terhutang budi kepada pelbagai agensi kerajaan yang telah menyokong kami sepanjang perjalanan empat tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, menurut Anis, agensi seperti Perbadanan Pembangunan Berhad (Pernas), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di bawah Kementerian Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) juga turut membantu mereka.
Selain itu, agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) dan Jabatan Pertanian Johor tidak culas memastikan mereka menerima pelbagai bantuan melalui pelbagai program bersesuaian dengan industri makanan dan minuman (F&B).
Tambah beliau, bantuan PMKS yang diterima termasuk geran, pembiayaan, latihan, sumber pembangunan perniagaan dan peluang bimbingan usahawan.
“Semua insentif ini telah membantu kami meningkatkan keupayaan, mengembangkan pasaran dan menangani cabaran dengan lebih yakin.
“Saya ingin mengajak kepada semua usahawan PMKS di luar sana untuk mengadakan hubungan baik dengan semua agensi kerajaan bermula daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan.
“Banyak inisiatif dan insentif yang kerajaan telah sediakan untuk usahawan PMKS yang belum direbut oleh usahawan sendiri,” katanya.