Belgrade: Novak Djokovic berkata kecederaan kaki yang menghancurkan impiannya di Terbuka Australia kini sudah “hampir 100 peratus pulih” dan dia bersedia untuk memburu gelaran ATP ke-100 di Doha bulan ini.
“Tiada lagi koyak otot. Kecederaan ini hampir 100 peratus sembuh dan saya bersedia untuk meraih lebih banyak kemenangan,” kata Djokovic dalam temu bual bersama akhbar Montenegro, Vijesti.
“Saya sudah mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan untuk berlatih dan membuat persiapan.
“Kejohanan di Doha akan berlangsung dalam masa tujuh hari lagi, dan saya akan terus mengikuti jadual yang dirancang.”
Usaha Djokovic untuk mencipta rekod kejuaraan Grand Slam ke-25 di Terbuka Australia berakhir apabila dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan selepas tewas set pertama kepada Alexander Zverev di separuh akhir.
Pemain berusia 37 tahun itu sebelum ini bergelut dengan kecederaan ketika menewaskan Carlos Alcaraz di suku akhir.
Namun, Djokovic kini dijangka kembali beraksi di Terbuka Qatar yang bermula pada 17 Februari, dengan harapan untuk menyertai Jimmy Connors dan Roger Federer dalam kelompok pemain yang mencapai 100 gelaran ATP.
“Saya sudah memburunya (gelaran ATP ke-100) sejak Oktober tahun lalu. Tetapi kita akan lihat, ia akan datang apabila tiba masanya,” kata pemain Serbia itu yang kini menduduki ranking ketujuh dunia.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd