Kanak-kanak berdepan tuntutan RM173,571 akibat mercun, musnahkan 8 kereta mewah

Kanak-kanak berdepan tuntutan RM173,571 akibat mercun, musnahkan 8 kereta mewah
Kanak-kanak berdepan tuntutan RM173,571 akibat mercun, musnahkan 8 kereta mewah

Seorang kanak-kanak berdepan tuntutan ganti rugi sebanyak RM173,571 setelah meletupkan mercun berhampiran sebuah restoran sehingga memusnahkan lapan kereta mewah. Foto Agensi

SICHUAN – Seorang kanak-kanak lelaki di China berdepan tuntutan ganti rugi sebanyak 285,000 yuan atau RM173,571 setelah meletupkan mercun ke dalam pembetung, mengakibatkan lapan buah kereta mewah yang diparkir di kawasan berkenaan rosak sepenuhnya.

Kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan didakwa membaling mercun ke dalam pembetung berhampiran sebuah restoran sehingga menyebabkan beberapa kereta mewah seperti Porsche, BMW dan Audi terbakar sehingga melambung ke udara.

Walaupun tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan, ibu bapa dan kanak-kanak berkenaan ditahan polis untuk disoal siasat.

Susulan kejadian tersebut, nenek kepada kanak-kanak itu tampil memohon maaf dan mengakui kecuaian dalam menjaga cucunya.

“Saya ingin memohon maaf dan mengakui kesilapan saya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Kejadian ini berlaku akibat kecuaian saya yang leka seketika ketika menjaga cucu.

“Saya mohon agar tidak ada kata-kata buruk dilemparkan terhadap cucu mahupun keluarga kami,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Menurut peguam Tan Mintao dari firma guaman Beijing, jika keluarga kanak-kanak itu dapat membuktikan wujudnya kecuaian daripada pihak pengurusan sistem pembetung, tanggungjawab terhadap letupan itu boleh dikongsi.

Ini kerana padang rumput tempat kejadian terletak bersebelahan dengan restoran dan bukan tempat letak kereta yang sah.

Tambahnya, jika pemilik kenderaan diarahkan oleh kakitangan restoran untuk meletakkan kereta mereka di kawasan itu, restoran berkenaan juga bertanggungjawab untuk membayar tuntutan ganti rugi kepada mereka.

Namun begitu, peguam berkenaan menegaskan bahawa tanggungjawab utama tetap terletak pada penjaga kanak-kanak tersebut. – Agensi

Scroll to Top